Menonton filem-filem berkaitan makhluk asing keluaran Hollywood seolah-olah ia cuba memberi mesej bahawa makhluk asing benar-benar wujud.
Sama ada wujud atau tidak makhluk asing di planet-planet yang terdapat di angkasa lepas, itu adalah satu kisah lain.
Namun bagi manusia sejak terciptanya teleskop sekitar tahun 1600-an, keinginan mengembara ke angkasa semakin membuak-buak sekali gus membolehkan ilmu sains angkasa diteroka sedalam-dalamnya sehingga yang kita dapat lihat sekarang.
Sejak pelancaran roket Sputnik 1 milik Soviet Union pada 4 Oktober 1957 yang pertama seumpamanya ke angkasa lepas ia merupakan permulaan kepada persaingan dalam eksplorasi angkasa dan teknologi satelit dalam Perang Dingin antara Soviet Union dan Amerika Syarikat (AS).
Kehidupan
Selanjutnya segalanya tinggal sejarah sekarang apabila Sputnik 2 dilancarkan pada 3 November 1957 yang turut membawa seekor anjing bernama Laika. AS mula melancarkan satelitnya, iaitu Explorer 1 pada 1 Februari 1958 sebagai tindak balas kepada pelancaran Sputnik 1.
Baru-baru ini pesawat angkasa yang membawa kenderaan robotik yang diberi nama Curiosity mendarat di Marikh pada 5 Ogos lalu dengan misi selama dua tahun untuk mencari sebarang tanda kewujudan kehidupan.
Kenderaan yang membawa robotik berkuasa nuklear itu mengharungi penerbangan sejauh 227.9 juta kilometer selama lapan bulan sebelum tiba di Marikh.
Dianggarkan kos projek yang dikendalikan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) itu menelan belanja sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.8 bilion).
Planet mati
Berdasarkan gambar-gambar berwarna yang dihantar kenderaan robotik itu, permukaan planet tersebut tandus dan berbatu-batu sekali gus menunjukkan Marikh kelihatan seperti sebuah planet mati.
Tiada pokok kelihatan di permukaan Marikh berdasarkan gambar-gambar yang dihantar Curiosity. Bukit-bukau yang terdapat di planet itu menunjukkan ia digambarkan mirip Gurun Mojave di California di AS.
Memandangkan antara misi utamanya adalah mengenal pasti tanda kewujudan kehidupan, para saintis percaya permukaan tanah di planet tersebut tidak tebal sekali gus membolehkan kenderaan itu menggerudi dengan mudah untuk mengetahui rahsia geologi planet itu.
Gambar-gambar itu dihantar ke sebuah makmal NASA di AS menerusi dua satelit milik mereka yang mengorbit Marikh selepas dirakamkan Curiosity.
Timbul persoalan kenapa Marikh dipilih sebagai misi utama untuk dikenal pasti kewujudan kehidupan berbanding planet-planet lain.
Sesuai
Secara umumnya, Marikh ialah planet yang sudah dikenal pasti sesuai untuk penempatan manusia. Planet ini yang turut dikenali sebagai �Planet Merah� bersaiz berpuluh-puluh kali ganda lebih besar daripada bumi.
Menjadikan misi ini lebih menarik adalah keupayaan Curiosity menanggung beban yang bukan sedikit apatah lagi ia dijalankan secara bersendirian tanpa bantuan manusia ketika di sana.
Setelah menjalani proses pendaratan yang agak mencemaskan selama tujuh minit, akhirnya Curiosity berjaya mencecah permukaan Marikh, di kawasan berpadang pasir yang dikenali sebagai Gale Crater.
Tujuan Curiosity selain mencari kewujudan kehidupan adalah untuk mempelajari bentuk muka bumi dan geologi di Marikh, keadaan iklim di sana, serta melakukan beberapa kajian penting yang mungkin membolehkan manusia �hidup� seperti di bumi satu hari nanti.
Hakikatnya pendaratan ini bukan yang pertama seumpamanya di Marikh. Ia merupakan pendaratan ketujuh yang berjaya dilakukan NASA di planet tetangga Bumi itu.
Berdasarkan catatan sejarah, misi ke Marikh dimulakan sejak sekitar 1960-an. Rusia merupakan negara terawal melancarkan misi ke Marikh dengan program yang diberi nama, Mars 1M. Ia menggunakan dua pesawat, Korabl 4 dan Korabl yang berlepas pada 5 Oktober 1960.
Perjalanan
Namun ia tidak mampu berlepas jauh kerana masalah teknikal. Sejak 1962 hingga 1969 sebanyak tujuh misi ke Marikh telah dilakukan oleh Rusia namun kesemuanya menemui kegagalan, kebanyakannya akibat masalah teknikal.
Di pihak AS pula misi ke Marikh bermula pada 1964, apabila dua pesawat Mariner 3 dan Mariner 4 dihantar ke Marikh pada 5 November dan 28 November 1964.
Namun hanya Mariner 4 yang berjaya meneruskan perjalanan sehingga melintasi planet tersebut setelah mengharungi sejauh tujuh setengah bulan.
Pesawat ini kemudiannya berjaya menghantar gambar Marikh secara dekat, yang pertama dalam sejarah. Gambar ini memberi ruang untuk mengenali Marikh secara lebih dekat sekali gus mendedahkan adalah sukar untuk kehidupan wujud di sana.
AS meneruskan misi ke Marikh dengan menghantar lebih banyak roket ke Marikh namun Rusia adalah negara pertama yang berjaya mencecahkan pesawatnya di atas tanah planet tersebut.
Pesawat Mars 2, tidaklah berjaya mendarat tetapi terhempas di Marikh pada 27 November 1971 kerana kegagalan komputer berfungsi. Pesawat Mars 3 kemudiannya berjaya mendarat dengan baik pada 2 Disember 1971 namun kemudian terputus hubungan mengakibatkan sebarang data yang berharga gagal dikumpul.
Misi program Viking yang menghantar pesawat Viking 1 dan 2 yang dilancar pada 1975 merupakan kejayaan pertama manusia berjaya mendarat di Marikh secara sempurna.
Melalui misi ini terdedah rahsia terdapat punca air di planet ini dan kenderaan robot yang dihantar telah menjelajah ribuan kilometer di planet ini untuk dijadikan rujukan. Namun penemuan ini kekal rahsia sulit sehingga sekarang.
* Mars Pathfinder
Setelah agak lama terhenti, Program Mars Pathfinder dilancarkan pada 4 Disember 1996 oleh NASA di atas roket Delta II, sebulan selepas Mars Global Surveyor dilancarkan.
Selepas mengharungi perjalanan selama tujuh bulan, ia mendarat di Ares Vallis, di dalam kawasan dinamakan Chryse Planitia pada 4 Julai 1997.
Sebaik sahaja pendarat dibuka, ia mendedahkan robot perayau yang diberi nama Sojourner melaksanakan kajian di permukaan planet Marikh.
* Misi Odyssey dan Express
Misi Odyssey dan Express dilancarkan pada 7 April 2001 dengan menggunakan roket Delta II dari Cape Canaveral, Florida, dan tiba di Marikh pada 24 Oktober 2001.
Bagaimanapun, ia cuma memulakan misi kajiannya pada 19 Februari 2002. Odyssey 2001 adalah pesawat angkasa NASA yang mengorbit planet Marikh. Pesawat ini membawa tiga instrumen penting untuk penyelidikan iaitu Themis, GRS dan Marrie.
* Mars Reconnaissance Orbiter (MRO)
Program ini merupakan kapal angkasa lepas pelbagai guna yang direka untuk melakukan peninjauan dan penerokaan Marikh dari orbit.
Kapal angkasa yang menelan belanja AS$720 juta ini dibina oleh Lockheed Martin dengan penyeliaan oleh Jet Propulsion Laboratory.
MRO dilancarkan pada 12 Ogos 2005 dan tiba di orbit Marikh pada 10 Mac 2006. Pada November 2006, ia akhirnya memasuki orbit dan berjaya memulakan fasa kajiannya.
* Misi Curiosity
Selama ini semua kenderaan yang digunakan dalam penerokaan ke angkasa lepas menggunakan tenaga suria.
Bagaimanapun untuk misi kali ini, ribut debu yang berlaku mampu menahan cahaya suria daripada menembusi ruang atmosfera Marikh dan membuatkan panel solar sukar berfungsi kerana kekurangan cahaya suria yang mencukupi. Oleh itu sebagai penyelesaian, tenaga nuklear digunakan.
Tenaga tersebut bukan terhasil daripada tindakan pembelahan atom dalam reaktor nuklear tetapi menggunakan teknologi yang dikenali sebagai Radioisotope Thermoelectric Generator (RTG).
Tenaga elektrik yang dijana digunakan bagi menjalankan motor kenderaan dan juga memastikan suhu 11 peralatan saintifik yang dibawa kenderaan tersebut berfungsi seperti yang sepatutnya.
* Projek Mars One
Satu projek besar berkaitan planet Marikh yang mendapat perhatian ramai adalah Projek Mars One, yang mana ia merancang untuk membina penempatan manusia pertama di Marikh pada April 2023.
Mars One ditubuhkan pada awal 2011 oleh Bas Landerson. Menurut perancangan mereka pada 2023, sekumpulan manusia akan dihantar buat pertama kali, yang terdiri daripada empat orang angkasawan terpilih
Perjalanan ke planet tersebut memakan masa tujuh bulan dan pada setiap dua tahun, mereka akan diganti dengan kumpulan baru.
Dijangkakan menjelang 2033, seramai 20 orang manusia yang menetap, bekerja dan membangunkan penempatan di planet Marikh akan tinggal di sana seumur hidup mereka.
Kalau semuanya berjalan seperti yang dirancang, mungkin bermulalah sejarah dan tamadun baru manusia di planet Marikh sekali gus membolehkan manusia berupaya tinggal di dua planet berbeza.
No comments:
Post a Comment