7 Jenis Sombong Yang Dilaknat Tuhan
- Sombong kerana kelebihan seseorang dengan pengetahuan ilmunya, baik
ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada, dia
menganggap orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada
pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Orang yang sombong
seumpama ini hendak dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama
ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta
sentiasa meminta diberi layanan mulia.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walau hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Muslim)
- Sombong kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli
abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan
orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti
mereka. Sedangkan mereka sebenarnya terpedaya dengan tipu daya syaitan.
Rasulullah SAW telah mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud:
“Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal salih, bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya.“
- Sombong kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan
mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang
dulunya dikatakan keramat atau hebat. Sifat sombong seperti ini tidak
ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Tuhan, seperti termaktub
dalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak
menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia dikasihi tuhan.
- Sombong kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang
lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup
menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam
atau gemuk.
- Sombong yang berpunca daripada kelebihan harta diberi Allah membuat
kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar,
kereta BMW mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.
- Sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli
kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca,
kunyah besi, boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi, boleh
dihempap badan dengan batu dan besi, atau sebagainya.
- Sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang
diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji.
Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak
parang dan dijilat api.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)
No comments:
Post a Comment